18 Apr 2012

Apa itu fanservice?

Fanservice pada asalnya merupakan antara unsur-unsur tarikan buat anime genre harem. Namun, kini ia semakin banyak kelihatan dalam anime, tidak kira apa pun genrenya

Mengenali Fanservice

Fanservice merupakan satu klasifikasi nama merujuk kepada babak-babak yang membawa visual atau gurauan seksual yang tidak diperlukan dalam plot anime. Babak-babak fanservice yang biasa kelihatan dalam anime adalah panty shot (gambaran seluar dalam), adegan mandi; terutamanya dalam onsen (kolam air panas),gadis dalam pakaian renang dan pendedahan bahagian buah dada wanita. Kebanyakkan babak-babak fanservice menggunakan watak perempuan dan hanya segelintir anime sahaja memaparkan fanservice dengan watak lelaki. Fanservice walaupun bukan semuanya dipaparkan dalam keadaan seksual, ia biasanya dipaparkan melaui pelbagai cara yang mencadangkan sesuatu berunsur seksual. Babak-babak sebegini wujud hanya untuk menarik perhatian penonton dan selalunya tidak memberi sebarang impak terhadap keseluruhan anime. Kewujudannya boleh diabaikan kerana ia tidak memainkan peranan penting dalam menyokong perjuangan plot anime. Disebabkan penggunaan yang berleluasa oleh pihak produksi ia mula dipandang sebagai teknik pemasaran murahan bagi peminat.





Jika dahulu fanservice jarang kelihatan dalam anime selain daripada genre harem, kini ia diselitkan dalam hampir semua jenis anime yang terdapat dalam pasaran. Pada mulanya, babak-babak sebegini dihasilkan dalam  anime jenis harem dengan tujuan memenuhi kehendak atau fantasi penontonnya. Namun, kini ia digunakan hampir dalam setiap anime semata-mata untuk mempamerkan eye candy kepada penonton. Seorang lelaki terlanggar seorang gadis, kemudiannya terjatuh, gadis tersebut terbaring di hadapannya dan seluar dalam jelas kelihatan. Si lelaki terlanggar seorang gadis sambil terpegang buah dadanya. Seorang remaja lelaki ternampak gadis yang sedang mandi atau sedang menukar pakaian. Inilah jenis situasi yang sering digunakan dalam anime hingga ia menjadi begitu klise sekali.


Selain daripada contoh-contoh babak klise yang telah dikatakan, fanservice turut wujud dalam beberapa bentuk yang berlainan. Misalnya kemunculan sesuatu watak dalam pakaian yang seksi ataupun jenaka mengejek yang tidak terkeluar daripada isi kandungan dan perjalanan plot. Sesetengah karakter juga direka dengan personaliti yang mampu menjana babak-babak fanservice yang ringan. Ia biasa dilihat dalam anime genre shounen yang didominasi oleh golongan lelaki; beberapa watak perempuan yang wujud akan direka dengan dengan rupa paras menawan beserta potongan badan yang hebat. Walaupun ia tidak membawa sebarang makna, rekaan sebegini mengandungi implikasi seksual yang terpendam. Maka ia turut dianggap sebagai eye candy, salah satu sub-genre fanservice yang ringan. Dengan usaha pihak produksi yang semakin ghairah menghidangkan fanservice dalam anime, semakin banyak cara penyampaian yang berlainan dihasilkan. Melalui kemunculan ramai bakat dalam bidang anime, peminat boleh mengharapkan perubahan yang lebih positif pada masa akan datang. Daripada longgokan idea yang sedia ada dan ditambah sedikit kreativiti, perubahan boleh dilakukan bagi menjadikan babak-babak fanservice lebih berkualiti dan kurang klise.




Walaupun fanservice mempunyai peminatnya sendiri, ia turut dibenci oleh golongan peminat yang mahukan anime tontonan mereka bebas daripada gangguannya. Mereka terasa seperti dihidangkan dengan bahan yang tidak mempunyai nilai tontonan. Lagipun, kehadiran babak-babak sebegini dikatakan menjatuhkan imej dan martabab perempuan yang sering dijadikan bahan hiburan dalam keadaaan berunsur seksual. Ini disebabkan fanservice ditujukan oleh penonton lelaki. Peningkatan bilangan peminat perempuan turut membangkitkan penggunaan watak lelaki dalam aksi-aksi berbentuk fanservice walaupun ia agak ringan dengan apa yang dilakukan ke atas watak perempuan sebelum ini. Bagaimanapun, bukan semua babak fanservice adalah sesuatu yang negatif. Jika ia dihasilkan secara sederhana tanpa implikasi seksual yang melampau dan dapat menyokong plot anime, ia boleh dianggap sebagai satu bentuk pelepasan(escapism) untuk meringankan mood anime. Sedihnya, kebanyakkan fanservice terlampau tertumpu pada unsur-unsur hiburan semata-mata.


No comments:

Post a Comment

thanks for comment!!

Blog Lain